|
BERTUMBUH DALAM KASIH (Growing in Love)Download this Sermon Message preached by Ps Bios
Solingkin at the Bahasa Malaysia morning service at 8.00 a.m. on 1st
February, 2009.
BERTUMBUH DALAM KASIH
Yesus
berkata “Kasihilah Tuhan Allah mu dengan segenap hatimu dan dengan segenap jiwamu dan dengan segenap akal budimu’. Inilah hukum yang pertama dan yang
terutama”. (Matius 22:37, 38) “segenap
kekuatanmu” (Mark 12:30-31 Luk 10:27).
Ayat 34
hingga 36 dalam Injil Matius dilatari dengan perdebatan Yesus dengan orang Saduki
mengenai kekeliruan orang Saduki mengenai kebangkitan. Yesus mengatakan bahawa
orang Saduki sesat kerana mereka tidak mengerti akan Kitab Suci mahupun kuasa
Allah (Mat 22:29). Orang Saduki tidak percaya kepada kesempurnaan dalam
kebangkitan iaitu kehidupan seperti malaikat di sorga pada hari kebangkitan
kalak. Mereka berfikir bahawa suasana di sorga itu sama dengan apa yang ada di
bumi iaitu masih ada suami isteri. Kekeliruan ini menunjukkan kelemahan
pengertian mereka yang terfokus kepada fahaman kedagingan manusia dan bukan
fahaman sorgawi (Mat 22:30).
Kelanjutan cerita ini diteruskan dengan ajakan Yesus supaya mengasihi Tuhan dan
mengasihi sesama manusia.
Kata segenap
hatimu menunjukkan sikap,
kemahuan atau kehendak dalam diri seseorang. Menuruti kehendak Tuhan sangat
bergantung kepada keputusan yang diambil daripada hati. Mengasihi Tuhan adalah
suatu pilihan dan setiap manusia diperhadapkan dengan pilihan setiap masa, sama
ada kita memilih untuk mengasihi Tuhan atau tidak. Tuhan tidak pernah
menganggap manusia sama seperti robot yang boleh diprogramkan dan boleh
melakukan apa sahaja yang diperintahkan atau diarahkan. Dia sangat menghargai
pilihan manusia yang ditentukan oleh hati kita. Persoalannya di sini adalah,
apakah setiap keputusan yang diambil oleh hati kita itu mengambil kira kehendak
hati kita untuk mengasihi Tuhan. Apakah waktu kita mengalami permasalahan,
pergumulan dan kekecewaan masih boleh berkata “Tuhan, walaupun saya
berada dalam keadaan seperti ini, saya tetap mengasihimu dengan segenap
hatiku”.
Kata
mengasihi Tuhan dengan segenap jiwamu merujuk kepada kondisi
emosi kita di hadapan Tuhan. Emosi berperanan untuk menjadikan kita memiliki
hati yang hancur di hadapan Tuhan. Dari sudut yang lain, emosi kita berperanan
untuk menolong kita mengerti akan kasih Tuhan kepada kita yang penuh dengan
emosi-Nya. Dia mengerti akan segenap pergumulan hidup kita dan Dia mahu
menyatakan kasihnya kepada kita. Kunci daripada kedekatan Daud kepada Tuhan
adalah Daud mengasihi Tuhan dengan segenap jiwanya dan ini dapat kita rasakan
dalam ungkapan tulisannya dalam kitab Mazmur. Ketika anda memuji dan menyembah
Tuhan, apakah anda memuji dan menyembah Tuhan dengan segenap jiwamu dangan
menumpukan segala emosimu kepada Tuhan.
Kata
mengasihi Tuhan dengan segenap akal budimu merujuk kepada
apa yang kita fikirkan dan bagaimana kita melibatkan akal dan fikiran kita
untuk mengasihi Tuhan. Ada orang-orang bijaksana yang cuba mengkaji mengenai
kewujudan Tuhan dan menyatakan bukti-bukti secara sains namun mereka kecewa
kerana kewujudan Tuhan melebihi daripada apa yang difikirkan oleh manusia
bahkan mereka tidak tahu kenapa mereka boleh berfikir seperti demikian. Kasih
Tuhan tidak terjangkau oleh akal dan fikiran manusia, kasihnya lebih dalam
daripada lautan yang paling dalam dan lebih tinggi daripada langit yang paling
tinggi. Persoalannya di sini adalah, berapakah waktu yang kita gunakan untuk
memikirkan kehendak Tuhan atau visi dan misi Tuhan dalam kehidupan kita.
Kata
mengasihi Tuhan dengan segenap kekuatanmu menunjukkan kemampuan dan kekuatan kita
untuk menyatakan perbuatan atau aksi yang dapat dilihat sebagai tanda bahawa
kita mengasihi Tuhan. Masalah orang Kristian sekarang ini adalah, mereka tidak
dapat melihat bahawa setiap pergerakan mereka sebenarnya diperhitungkan Tuhan
sebagai penyembahan atau aksi kita untuk mengasihi-Nya. Bangun setiap awal pagi
dan berdoa dan membaca firman Tuhan bukan sesuatu yang mudah dilakukan. Kesetian
kita untuk melakukan sesuatu kepada Tuhan menunjukkan bahawa kita mengumpulkan
segenap kekuatan kita untuk mengasihi Dia. Persoalannya di sini adalah, tidak
semua yang kita lakukan itu bersesuaian dengan kehendak Tuhan dan menyatakan
tanda kekuatan kita untuk mengasihi Tuhan.
Bahagian
kedua daripada hukum yang dijelaskan oleh Yesus kepada orang Saduki adalah
mengenai kasih sesama manusia. Mungkin mudah bagi kita untuk menyatakan kasih
kepada Tuhan melalui segenap hati, jiwa, akal budi dan kekuatan kita namun
bagaimana dengan kasih kepada sesama?. “Dan hukum yang kedua, yang sama dengan itu, ialah:
Kasihilah sesamamu manusia seperti dirimu sendiri (Mat
22:39). Kata “sama dengan itu”
menunjukkan kepentingan kepada bahagian lain walaupun terpisah secara penyataan
ayat. Perintah untuk mengasihi Tuhan dan sesama manusia adalah 1+1=2. Tidak ada
2 jika 1 yang lain tidak ada. Ini
menunjukkan bahawa miskipun kita dapat mengasihi Tuhan dengan segenap hati,
jiwa, akal budi dan kekuatan kita namun kita gagal mengasihi sesama manusia
dengan segenap hati, jiwa, akal budi dan kekuatan kita maka kasih ini tidak
dikira kerana ianya tidak mencakupi kehendak “sama dengan itu”.
Oleh yang
demikian, bagaimanakah dapat mengasihi
sesama seperti dirimu sendiri?
Dalam 1 Korintus 13:4-7 menyatakan
dan menjelaskan mengenai cara untuk menyatakan kasih kepada sesama. Sebelum
kita melihat bahagian ayat ini, saya ingin menjelaskan serba ringkas mengenai
masalah yang dialami oleh jemaah di Korintus.
Surat
Paulus ini ditujukan kepada jemaah di Korintus, iaitu jemaah yang dipanggil
sebagai orang kudus yang dipanggil dari segala tempat dan dikatakan kasih
karunia dan damai sejahtera dari Yesus Kristus menyertai mereka (1 Kor 1:2-3). Jemaat
di Korintus dikatakan penuh dengan masalah perpecahan jemaah, perselisihan,
masalah moral, masalah dalam pernikahan, ketidaksetiaan terhadap panggilan
Allah, masalah penyembahan berhala, masalah wanita, salah laku perjamuan kudus,
kekeliruan tentang kurnia-kurnia, masalah kesatuan, praktikal kasih dan juga
tentang doktrin kebangkitan selepas mati (1 Korintus 1-16). Paulus terutamanya
menegaskan beberapa masalah mengenai praktikal kasih di Korintus. Oleh yang
demikian, Paulus menjelaskan agar kasih itu sabar, murah hati, tidak cemburu,
tidak memegahkan diri, tidak sombong, tidak melakukan yang tidak sopan
(bersopan santun), tidak mencari keuntungan diri sendiri, bukan pemarah, tidak
menyimpan kesalahan orang lain, tidak bersukacita kerana ketidakadilan tetapi
kebenaran, menutupi segala sesuatu, percaya segala sesuatu, mengharapkan segala
sesuatu, dan sabar menanggung
segala sesuatu. Dalam gereja kita, mungkin kita rajin untuk datang ke gereja,
berdoa dan membaca firman Tuhan setiap hari serta melakukan aktiviti-aktiviti
pelayan di gereja, namun kalau kita masih menghadapi seperti pergumulan jemaat
di Korintus maka surat Paulus ini juga ditujukan kepada kita.
Kita
mungkin berkata, Tuhan saya boleh mengasihi teman seiman dan orang yang belum percaya
kepada Tuhan, tetapi bagaimana pula dengan musuh kita? Alkitab berkata, kita harus mengasihi musuh (Mat 5:43-44).
Seringkali kita menganggap salah terhadap teguran-teguran melalui firman Tuhan,
sahabat kita, pemimpin kita atau orang-orang yang ada di sekitar kita, namun
Amsal 27:5 berkata, lebih baik teguran yang
nyata-nyata daripada kasih yang tersembunyi. Kebanyakan masa kita adalah
bergaul dengan orang-orang yang belum percaya kepada Kristus, oleh yang
demikian harus berhati-hati dalam
pergaulan terutamanya menjaga kata-kata yang keluar dari mulut kita agar kata-kata tersebut menunjukkan kasih
(Kolose 4:5-6).
Memang
kita adalah manusia yang tidak sempurna dan banyak melakukan pelanggaran, oleh
yang demikian kita sendiri memerlukan kasih kerana kasih menutupi segala pelanggaran (Amsal 10:12). Sebagai jemaah yang
hidup dalam proses ke arah kesempurnaan, kita mungkin diperhadapkan dengan
banyak cabaran dan rintangan kehidupan terutamanya kesatuan dan kemampuan untuk
saling menerima keberadaan seseorang dengan yang lain namun, kasih sebagai pengikat, mempersatukan dan
menyempurnakan (Kolose 3:12-14). Mungkin anda berfikir dan berkata, sukar
sekali untuk mengasihi kerana tuntutannya terlalu sukar, namun dalam Roma 5:5,
8 berkata, kasih telah dicurahkan dalam hati kita dan Allah sendiri telah menunjukkankasih-Nya
kepada kita, kerana Kristus telah mati untuk kita, ketika kita masih berdosa.
Sebagai orang percaya dan pengikut Kristus, kita tidak ada pilihan selain bertumbuh dan membangun dirinya dalam kasih
(Efesus 4:16). Paulus telah berdoa agar kasih
kita makin melimpah dalam pengetahuan yang benar dan dalam segala macam
pengertian supaya kita dapat memilih apa yang baik supaya suci dan tak bercacat
menjalang kedatangan Kristus (Filipi 1:9).
Tuhan mahu
supaya kita bukan sahaja dapat bertumbuh secara fizikal tetapi juga bertumbuh
secara rohani terutamanya bertumbuh di dalam kasih. Surat Ibrani 5:12-14
menjelaskan orang-orang percaya yang bertumbuh secara tidak seimbang. Sebab
dikatakan bahawa kalau diukur secara jangkamasa, sepatutnya mereka tidak lagi
layak minum susu tetapi makanan yang keras, namun mereka masih kanak-kanak
secara rohani. Oleh yang demikian, orang kristian yang masih keanak-anakan
tidak ada bezanya dengan orang dewasa yang masih menghisap botol susu. Oleh
yang demikian, biarlah proses-demi proses yang kita alami sepanjang tahun ini
akan mendewasakan kita secara rohani. Tuhan Memberkati.
Ps Bios Solingkin SIB Metro Church info@sibmetro.com
|
|
|
Lastest Sermons





More
|
|