|
Melihat akhir dari awalDownload this Sermon
Message preached by Ps Bios Solingkin at the SIB Metro
Church Bahasa Malaysia Service on 10th August 2008 at 8.00 a.m.
Melihat akhir dari awal
Minggu yang lalu,
kita belajar mengenai tajuk “mata yang terhalang”. Mata yang
terhalang adalah mata yang tidak dapat melihat ke objek dengan jelas kerana ada
sesuatu yang menghalang. Mata yang terhalang tidak dapat melihat visi dengan
jelas. Orang yang tidak dapat melihat visi akan menjalani kehidupan yang tidak
bersemangat kerana orang ini tidak ada matlamat dan sasaran dalam kehidupannya.
Kita juga belajar bahawa mata orang yang terhalang adalah orang yang pernah dikecewakan.
Ini terjadi kepada murid Yesus yang kecewa kerana hero mereka iaitu Yesus, kini
sudah meninggal dunia. Mereka tidak dapat melihat kemenangan disebalik
kekalahan. Mata yang terhalang adalah orang yang tidak mengalami pertemuan
secara peribadi dengan Tuhan. Murid Yesus melihat dan mendengar bahkan
bersama-sama dengan Yesus ketika Yesus melayani, namun semua ini hanya dialami
oleh orang lain sahaja, manakala murid Yesus sendiri tidak mengalaminya. Mata
yang terhalang adalah orang yang
menghindari masalah. Kedua murid Yesus telah menyingkir ke Emaus kerana tidak sanggup
menghadapi kenyataan yang berlaku
di kota Yerusalem, di mana nyawa mereka sedang diancam oleh bahaya. Mata yang
terhalang adalah mereka yang tidak mempraktikkan iman mereka. Murid Yesus mengetahui
Kitab Taurat dan Kitab Nabi-Nabi namun mereka tidak percaya bahawa penyaliban
Yesus merupakan sebahagian daripada kegenapan nubuatan.
Saudara yang
dikasih Tuhan, hari ini dan beberapa masa yang akan datang, kita akan belajar
untuk melihat arah pelayanan kita supaya lebih jelas lagi. Saya namakan tajuk
khutbah hari ini sebagai, “melihat akhir dari awal” atau “melihat
buah dari benihnya”. Tujuan saya untuk membawa mesej ini pada kali ini
adalah, supaya kita dapat melihat masa depan kita dengan lebih jelas, melihat
masa depan keluarga kita semakin jelas, melihat masa depan pekerjaan kita dengan
lebih jelas, melihat masa depan pelajaran kita semakin jelas, melihat masa
depan pelayanan dalam gereja kita makin jelas dan sebagainya.
Ada satu
kata-kata hikmat mengatakan, “kalau engkau melihat siapa dirimu masa
lalu, lihatlah siapa dirimu sekarang ini. Kalau engkau melihat siapa dirimu
pada masa akan datang, lihatlah apa yang sedang engkau lakukan sekarang
ini”. Ternyata, apa yang kita lakukan sekarang ini, menentukan siapa diri
kita pada masa akan datang. Keberadaan orang yang sudah berhasil tidak
diperolehi pada ketika dia menikmati keberadaannya, tetapi ketika berada dalam
proses mempersiapkannya. Sebagai hamba Tuhan yang melayani dalam gereja ini,
pelayanan saya dalam gereja ini bukan terjadi secara tiba-tiba atau secara
kemalangan tetapi ini adalah hasil daripada tindakan-tindakan dan penyertaan Tuhan
kepada saya pada masa lalu.
Memang sukar
untuk melihat gambaran tentang apa yang akan berlaku terhadap kehidupan kita
pada masa akan datang. Sayapun tidak pernah membayangkan apa yang terjadi dalam
diri saya pada hari ini pada masa lalu. Di tangan saya ini, ada sebuah limau
yang saya beli dari Kundasang kemarin. Limau ini katanya dari Beufort dan ianya
sungguh manis. Saudara, sewaktu saya mengambil sebiji buah limau ini, saya
sungguh terpesona dengan warna kulitnya yang hijau kekuning-kuningan. Saya mulai
menghalusi kulit limau ini dan mulai membuka kulitnya. Saya mengambil isi limau
ini dan memakannya dan mengatakan, wah!!!.. limau ini sungguh manis... Ketika
kita mengecapi keenakan limau ini, kita lupa kepada pekebun yang telah menanam
benih limau ini.
Saya percaya,
ketika pekebun itu mengambil benih limau dan menanamnya di tepak samaian, dia
mulai membayangkan pokok-pokok limau yang ditanamnya dan dia mulai membayangkan
pokok, daun, ranting dan buahnya sehingga dia sungguh bersemangat untuk menanam
benih limau tersebut. Pada ketika itu, pekebun tersebut tidak membayangkan
bahawa pokok limau yang ditanamnya akan menjadi kering, pokoknya tumbang ditiup
angin, atau terkena banjir, atau buah limau ini gugur sebelum matang dan dicuri
orang. Pekebun tidak pernah membayangkan bahawa buah daripada limau ini akan
menjadi asam dan tidak disukai oleh orang. Ada ramai orang yang tidak dapat melihat pelayanan dari
sudut yang positif dan potensi pada masa akan datang. Mereka lebih melihat
keruntuhan dan ketidakmampuan serta masalah yang berlaku. Pandangan akhir dari
awal ini salah dan tidak menjanjikan keberhasilan serta menerima janji-janji
Allah.
Hari ini, saya
berbicara mengenai “melihat akhir dari awal” iaitu, dengan belajar
dari Kitab Nehemia 2:11-20. Saya ingin menyatakan sedikit daripada latar
balakang Nehemia. Nehemia disuruh Tuhan membangunkan timbok Yerusalem yang
sudah runtuh, terbakar dan musnah. Nehemiah tidak hanya membangunkan tembok
Yerusalem tersebut tetapi membina semangat sisa-sisa Israel yang tertinggal di
Yerusalem dan luar Yerusalem, akibat pembuangan. Dalam tradisi penaklukan kota,
biasanya pihak lawan akan memusnahkan kota tersebut sehingga lumpuh dan tidak
dapat bangkit dalam masa yang singkat. Biasanya mereka akan menawan orang-orang
pintar, keturunan bangsawan, raja-raja dan orang-orang yang berpotensi
membangunkan kota tersebut. Kekuatan Nehemiah dapat kita lihat, apabila dia
mampu membangunkan tembok Yerusalem selama 52 hari sahaja. Selain daripada itu,
Nehemia juga telah mempersiapkan Ezra untuk membaca Kitab Taurat, menumpaskan
beberapa penyelewengan, melakukan beberapa pembaharuan segar, taat berdoa,
beramal dan setia kepada tugasnya.
Pelayanan
Nehemia dimulai dengan kedukaan hati Nehemia mendengar kemusnahan yang berlaku
ke atas Kota Yerusalem. Visi Nehemia tidak hanya untuk dirinya sendiri tetapi
kepentingan Yerusalem juga. Biasanya visi yang benar adalah visi yang disertai
dengan keperluan orang ramai. Nehemia berhasrat untuk membangunkan kembali
tembok Yerusalem yang sudah runtuh dan musnah. Nememia tahu bahawa pemulihan
ini tidak dapat dilakukan oleh Nehamia seorang diri sahaja dan dia memerlukan
orang-orang yang memahami visinya dan mahu menyertai pakatannya. Oleh itu, Nehemia mambawa beberapa orang
sahaja yang menyertainya dan mengatur suatu strategi. Ayat 12 mengatakan bahawa
Nehemia tidak menyatakan kepada siapa-siapa mengenai rencananya dan tindakannya
kecuali beberapa orang yang turut menyertainya.
Oleh yang
demikian. Niat, visi, gambaran yang
ingin dicapai tidak dinyatakan kepada orang secara terbuka (ay 11-12).
Hanya dinyatakan kepada orang tertentu, yang terdekat dengan kita atau orang
yang selalu bersama-sama atau orang yang ingin menyertai kita. Baru-baru ini,
saya didatangi dengan beberapa kawan. Mereka mengatakan “saya dengar bahawa
kamu berhasrat untuk membina “mega church” di Kota Kinabalu”.
Sejak dari itu, timbul perasaan tertekan dalam diri saya, bagaimana supaya
menjadi gereja yang terbesar di Kota Kinabalu. Setiap hari, saya mulai
memikirkan, merancang dan mulai menghakimi diri saya. Wah.. ini sudah masuk
sekian masa dan jemaat masih sekian???.. Kehidupan saya mulai tertekan dan
melihat kepada kemampuan sendiri. Suara dalam hati saya berkata.. siapa
dirimu?.. engkau mampukah?.. dan bermacam pertanyaan dan fikiran negatif. Saya
lupa bahawa Tuhanlah yang menjadi sandaran untuk melayani. Saya percaya bahawa
Tuhan akan memimpin gereja ini ke arah pertumbuhan. Saya percaya bahawa
Tuhanlah yang akan memberikan pertumbuhan dalam kerohanian dan fizikal gereja
kita.
Kalau Tuhan meletakkan
visi dan misi dalam diri kita, untuk dicapai pada masa akan datang, tidak perlu
diumumkan atau diwar-warkan kepada orang ramai secara terbuka, tetapi membawa
beberapa orang yang siap menyertai kita dan merancang bersama-sama. Tidak perlu
mengucapkan kepada semua orang bahawa saya akan menikah dengan si Anu namun
anda masih dalam proses perkawanan. Ada orang yang berkata, “setelah
berdoa, saya mendengar suara dari Tuhan mengatakan, saya akan menikah dengan si
Anu, dan ia mulai menyebarkan kepada ramai orang. Apa yang terjadi, kata-kata
ini tidak benar kerana, akhirnya orang ini menikah dengan orang lain dan dia
sendiri merasa malu. Dalam hal ini, seolah-olah Tuhan yang membohong kerana dia
menggunakan nama Tuhan. Point saya di sini adalah, Nehemia tidak bercakap besar
tetapi mulai memulakan tugasnya secara senyap-senyap dengan membawa beberapa
orang yang siap menyertainya.
Point saya yang
kedua dalam ayat ini adalah, milikilah orang-orang di sekeliling anda yang
boleh menolong, siap bersama-sama dengan anda dalam waktu susuh dan senang. Nehemia
sedar bahawa dia tidak kuat menjalankan visinya secara bersendirian dan dia
mendapatkan orang yang siap bangun dalam situasi gelap sekalipun untuk
memulakan visi dan misi yang perlu dilakukan.
Dalam ayat 13
hingga 15, Nehemia memulakan misinya dengan
membuat penyelidikan yang teliti.
Apa yang diimpikan, dikehendaki harus diselidiki dan difahami. Mulakan dengan
usaha yang kecil dengan setia dan kita akan melihat hasil yang besar pada masa
akan datang. Ramai orang yang terus memulakan sesuatu dengan besar tetap
akhirnya kecewa kerana apa yang dijangkakan tidak terjadi. Tidak salah untuk
berangan-angan atau memiliki impian yang besar tetapi harus belajar memulakan
dengan langkah pertama yang boleh diukur. Nehemia miskipun mempunyai impian
yang besar iaitu, memulihkan sebuah kota yang musnah, tetapi dia bertindak
dengan menggunakan langkah yang tepat. Kalau kita inginkan sesuatu yang lebih
besar, jangan lupa membuat
penyelidikan yang teliti. Kerugian boleh dielakkan bila ada perancanaan yang
rapi dan teliti. Nehemia melakukan persiapannya dengan teliti dan rapi sehingga
dia sendiri datang dan melihat kerosakan-kerosakan yang perlu diperbaiki. Ramai
orang Kristian yang hanya melihat masalah dari jauh tetapi tidak melihatnya
secara dekat dan menyelidiki penyebab, akibat dan cara untuk memperbaikinya.
Kita tidak perlu lari dari menghadapi masalah tetapi menghadapinya dan berani
untuk mengalami pertolongan Tuhan.
Nehemia
selanjutnya memulai dengan usaha sendiri
dahulu sebelum membawa orang lain berusaha bersama-sama (ay 16). Tidak bererti bahawa Nehemia tidak
memerlukan keterlibatan orang lain, tetapi Nehemia membuktikan bahawa dia tidak
hanya bercakap sahaja tetapi dia sendiri sudah memulakan. Ada ramai orang yang
tidak berhenti-henti bercakap mengenai impiannya tetapi tidak berani memulai.
Nehemia menunjukkan permulaan dari diri sendiri sebelum meminta pertolongan
dari orang lain. Walaupun misi Nehemia ini agak sukar, namun dia tetap berani
memulakan suatu yang baru bagi dirinya.
Nehemia
selanjutnya menjelaskan keadaan mereka dan menyedarkan umat Israel agar bangkit
daripada kemalangan mereka. Nehemia memulakan
sesuatu dengan beban atau panggilan atau motivasi yang benar (ay 17).
Penjelasan visi oleh Nehemia dimulai dari melihat keadaan yang perlu diperbaiki
dan mengadakan ajakan pembaharuan. Apa yang berlaku di sini adalah, Nehemia
berusaha untuk membangkitkan semangat orang-orang Yerusalem yang tertinggal
dari pembuangan. Nehemia mengadakan tindakan yang betul kerana tumpuan utama
Nehemia adalah membina kesedaran dan membakar semangat orang Yerusalem untuk
membangun kembali tembok pertahanan mereka. Ada banyak gereja yang lebih
tertumpu kepada pembangunan fizikal gereja daripada pembangunan kerohanian. Ada
ramai orang yang lebih tertumpu kepada produknya daripada proses penghasilan
produk. Ada ramai orang lebih melihat kecantikan buahnya daripada usaha pekebun
untuk memelihara buah tersebut. Nehemiah memulakan pelayanannya dengan memiliki
motivasi yang benar iaitu, ingin melihat bangsa dan kotanya dipulihkan. Lebih
daripada itu, Nehemia mahu supaya hubungan bangsa Israel dengan Tuhan dipulihkan.
Meyakinkan
seseorang dan kumpulan yang ramai bukalah sesuatu pekerjaan yang mudah. Nehemia
memulai tugasnya dengan mula menjelaskan
bukti penyertaan Tuhan (ay 18). Dia memulakan dari penjelasan mengenai
pengalaman dirinya sendiri mengenai pertolongan Tuhan. Nehemia menjelaskan
tentang kemurahan Tuhan yang menyertainya bila berhadapan dengan raja
Artahsasta sebelum ia melangkah ke Yerusalem. Kadang-kadang tanpa kita sedari
bahawa, kita terjerumus untuk
menjelaskan kemampuan kita dan kekuatan kita untuk menangani sesuatu pekerjaan
ataupun pelayanan. Kita lupa bahawa kuasa yang mutlak dari segala sesuatu
adalah kuasa Tuhan sahaja. Penjelasan mengenai pengalaman dan tanda-tanda
penyertaan Tuhan dari dirinya sendiri akan menimbulkan keyakinan kepada orang
lain. Biasanya kita akan melihat respon yang memberangsangkan. Setelah Nehemia
selesai menceritakan kemurahan Tuhan, Alkitab menulis bahawa mereka sehati
sejiwa mengatakan “kami siap membangun!”. Dilaporkan juga bahawa
setelah itu, mereka dengan sekuat tenaga mereka mulai melakukan pekerjaan yang
baik itu.
Dalam semua
pekerjaan dan pelayanan yang kita lakukan, biasanya
ada halangan. Dalam ayat 19, menyatakan “ketika Sambalat, orang Horon
dan Tobia, orang Amon, pelayan itu, dan Gesyem, orang Arab mendengar itu,
mereka mengolok-olokkan dan menghina kami. Kata mereka: “Apa yang kamu
lakukan itu? Apa kamu mau berontak terhadap raja?”. Saudara yang dikasihi
dalam Tuhan Yesus, jangan kita heran, apabila kita melakukan sesuatu visi dan
misi yang Tuhan telah tetapkan dalam diri kita, kadang-kadang akan muncul
orang-orang yang mengolok-olok, menghina dan memperkecil-kecilkan kemampuan kita. Yang
sungguh menyedihkan adalah, mereka adalah di kalangan kita sendiri bahkan
mereka adalah saudara atau kawan kita sendiri.
Saya akan
memberikan sedikit daripada latarbalakang Sambalat dan kawan-kawannya. Sambalat
bererti “dewa bulan” dan dia berasal dari Babel. Dia adalah seorang
penentang hebat kepada visi dan misi Nehemia. Walau bagaimanapun Sambalat
adalah penyembah Yahweh tetapi memiliki pandangan yang berbeza dengan Nehemia.
Ada yang mengatakan bahawa Sambalat berasal dari keturunan Israel yang tidak mengalami
pembuangan. Sambalat mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Asyur dan selalu
berkompromi dengan kerajaan Asyur.
Namun ayat
terakhir dari bab ini menyatakan bahawa “aku menjawab mereka, kataku:
“Allah semesta langit, Dialah yang membuat kami berhasil! Kami,
hamba-hamba-Nya, telah siap untuk membangun”. Tuhanlah yang akan membuat usaha kita berhasil (ay 20). Ingatlah!,
kita hanyalah hamba-hamba yang siap membangun tetapi Tuhanlah yang akan membuat
kita berhasil. Persoalannya di sini adalah, adakah kita siap untuk dipakai
Tuhan untuk membangun tembok Yerusalem?. Adakah kita siap dipakai oleh Tuhan
untuk membangun kerajaan Allah di gereja ini?, di tempat saudara bekerja?, di
tempat anda bersekolah?, membangun kerajaan Allah dalam keluarga anda? dan membangun
kerajaan Allah di sekeliling masyarakat kita tinggal?. Jaminan di sini adalah,
Allah yang akan membuat kita berhasil.
Nehemia
berhasil membangunkan tembok Yerusalem selama 52 hari sahaja kerana pertama:
Nehemia memiliki sikap yang hancur dihadapan Tuhan. Dalam Nehemia 1:4 mengatakan
“Ketika kudengar berita ini, duduklah aku menangis dan berkabung selama
beberapa hari. Aku berpuasa dan berdoa ke hadirat Allah semesta langit”.
Nehemia memiliki hati yang hancur dan meminta pertolongan daripada Tuhan. Kedua:
Nehemia memiliki visi untuk membangun kembali tembok Yerusalem dan mulai
mengatur strategi untuk menyatukan dan mendorong orang-orang Yerusalem supaya
bersama-sama dengannya untuk membangun tembok tersebut. Ketiga: Walaupun ada
halangan, tetapi Nehemia mengandalkan kekuatan dan kemampuannya
kepada Tuhan Allah semesta alam sehingga mereka berhasil memulihkan dan
membangun kota Yerusalem.
Saudara yang
dikasihi dalam nama Tuhan Yesus, siapapun kita dan apapun pergumulan kita,
milikilah hati yang hancur dihadapan Tuhan maka kita akan melihat campur tangan
Tuhan dalam kehidupan kita. Apapun visi atau misi kita, pastikan bahawa visi
dan misi itu bukan kepentingan diri kita semata-mata tetapi rencana dan
kehendak Tuhanlah yang menjadi agenda yang utama. Dalam apapun usaha kita, saya
pasti ada sahaja halangan namun, percayalah Tuhan akan memberikan kemenangan kepada
orang yang mengandalkan Tuhan, bersandar kepada kekuasaan Tuhan dan Tuhan akan
memastikan kita akan berhasil. Sekian dan Tuhan memberkati kita.
Ps Bios Solingkin SIB Metro Church biossolingkin@sibmetro.com
|
|
|
Lastest Sermons





More
|
|