MATA YANG TERHALANGDownload this Sermon Ps Bios Solingkin message preached at the SIB Metro Church Bahasa Malaysia and the English
Services on 3rd August 2008
Title: Mata
yang terhalang
Pada hari ini,
kita akan mendengar firman Tuhan dari Lukas
24:13-27 yang berbicara mengenai murid Yesus yang mengalami kebingungan setelah
Yesus mati di kayu salib. Murid-murid Yesus mengalami kekeliruan dan tidak
dapat mengenal Yesus yang muncul di tengah-tengah mereka kerana mata mereka
terhalang. Mata orang yang terhalang adalah orang
yang memiliki mata secara fizikal yang normal tetapi tidak dapat melihat
seperti yang seharusnya. Mata yang terhalang tidak semestinya mata yang sudah buta
dan tidak mampu melihat dengan jelas tetapi ada sesuatu yang perlu dibuka dalam
matanya sehingga pandangan orang ini tidak terhalang. Mata yang besar dan
mempunyai kaca mata yang terang dan mahal tidak menjamin penglihatan yang jelas.
Ada ramai orang yang mengalami kecederaan bahkan ada yang mengalami kerugian
yang besar dan ada juga yang sampai
mati kerana tidak dapat menggunakan mata dengan tepat. Seorang lelaki yang
dilaporkan dalam surat khabar baru-baru ini dikatakan jatuh ke dalam parit dan
meninggal dunia. Kenapa orang ini jatuh ke dalam parit? Ada yang berpendapat bahawa orang tersebut tidak menggunakan matanya
dengan betul. Mata dua orang murid Yesus yang terhalang sebenarnya menceritakan
ketidakmampuan mereka untuk melihat kemenangan disebalik kematian dan
kebangkitan Yesus. Kedua murid Yesus ini mengalami jalan buntu atau jalan mati
kerana mereka tidak dapat meneruskan tugas yang diamanahkan oleh Yesus.
Mata kita berkait
dengan keseimbangan tubuh. Kalau kita ada masalah dengan mata, tubuh kita tidak
seimbang. Kepala kita akan pening dan rasa loya dan muntah. Mata adalah organ
yang sangat penting dalam tubuh manusia dan menentukan keberkesanan fungsi
tubuh kita. Mata yang terhalang tidak dapat melihat tubuhnya sendiri di hadapan
cermin dan apa lagi melihat keperluan orang lain.
Mata orang yang
terhalang tidak dapat melihat pekerjaan Tuhan dalam diri, keluarga dan
pelayanannya. Orang ini menganggap bahawa semua yang dilaluinya adalah
kebetulan dan usaha dirinya hanya semata-mata. Orang ini selalu bersandarkan
kemampuan dan pengalamannya untuk melakukan sesuatu. Orang ini, walaupun melihat
campur tangan Tuhan dalam kehidupannya namun tidak merasa bersyukur dan
menganggap segalanya mudah bagi dirinya.
Orang yang
terhalang penglihatannya tidak dapat berjalan dengan benar dan selamat. Orang
ini tidak akan merasa selamat dan cuba mencari jalan penyelesaian bagi dirinya
sendiri walaupun mungkin menyusahkan orang lain.
Orang yang
terhalang penglihatannya tidak dapat menfokuskan diri kepada arah yang tepat. Mereka
hanya melihat dan dipengaruhi dengan keadaan semasa dan penglihatan secara mata
kasar. Mereka tidak dapat melihat potensi dan harapan tetapi prasangka buruk,
kemusnahan dan kehancuran. Orang
ini tidak dapat melihat masa depan dirinya sendiri dan memberikan harapan serta
masa depan orang lain. Orang-orang yang mempunyai pandangan yang terhalang
adalah orang yang mengalami kekecewaan dalam hidupnya.
Orang yang kecewa (ayat 20-21)
Dalam ayat ini,
murid-murid Yesus menyatakan kekecewaan mereka terhadap apa yang berlaku kepada
orang yang dianggap sebagai hero mereka. Mereka merasa kecewa kerana Yesus yang
dahulunya diharapkan untuk membebaskan Israel kini telah telah mati tiga hari
yang lalu. Mereka langsung tidak mengingati kata-kata yang diucapkan oleh Yesus
dan pernyataan para nabi mengenai kebangkitan Yesus pada hari yang ketiga.
Mereka hanya memperhatikan ketidakadilan yang berlaku di Yerusalem seperti
perasaan yang dirasai oleh orang-orang biasa yang sedih terhadap nasib yang
menimpa Yesus Kristus. Orang yang kecewa terfokus kepada perasaan dan emosi dan
tidak melihat dan menilai dengan baik. Sering kali mereka yang pernah
mengecewakan kita menjadi penghalang kepada mata kita sehingga kita tidak dapat
melihat perkara yang positif. Mereka mudah sekali putus asa dan bertindak
dengan tidak wajar. Mereka memiliki semangat yang rapuh, tidak bertahan dan
tidak berfikiran waras. Sesiapa yang datang lebih cepat, diterima sahaja
walaupun musuh. Wanita atau lelaki yang dikecewakan oleh pasangannya, menerima sesiapa
sahaja yang datang setelah dia pergi.
Selama Yesus
bersama-sama dengan mereka, murid-murid Yesus ini telah mendengar dan melihat
sendiri tentang kekuasaan luar biasa yang dilakukan oleh Yesus. Walau
bagaimanapun, mereka hanya melihat dan menjadi penonton akan kekuasaan ini.
Mereka bersama-sama dan hidup bersama-sama dengan Yesus namun mereka tidak
mengalami dan merasakannya sendiri akan kuasa Yesus. Jelas sekali pengertian
mereka agak cetek dan tidak berubah seperti seorang anak kecil yang memerlukan
bimbingan.
Tidak mengalami pengalaman peribadi bersama-sama dengan
Tuhan (ayat 19).
Murid-murid
Yesus mengenal Yesus sebagai seorang nabi yang berkuasa dalam pekerjaan dan
perkataan di hadapan Allah dan di hadapan seluruh bangsa Israel, namun mereka
tidak mengenal dan menerima Yesus sebagai Tuhan mereka. Usia yang cukup lama
menjadi orang Kristian bukanlah ukuran bahawa kita sudah cukup mengenal Yesus
yang kita sembah. Kedudukan kita sebagai pelayan yang tertinggi atau kita
beranggapan diri kita sebagai murid yang paling dekat dengan Yesus tidak
menjamin bahawa kita mengenal Tuhan yang kita sembah. Pencapaian akademik teologi
tidak menjamin bahawa kita sudah
mengenal Tuhan yang kita sembah. Mengenal Yesus bererti mengalami pertemuan dan
kuasa-Nya secara peribadi serta mengenal kehendak-Nya.
Menghindari persoalan (ayat 13)
Setelah Yesus
ditangkap, dihadapkan ke muka pengadilan dan akhirnya digantung di kayu salib,
murid-murid Yesus berada dalam keadaan yang tercerai-berai dan cuba ingin
menyelamatkan diri masing-masing. Mereka tidak berani menghadapi situasi yang
mengancam kedudukan dan nyawa mereka. Mereka masing-masing mencari tempat untuk
bersembunyi dan mengambil jalan yang paling aman untuk diri mereka. Ada ramai
orang Kristian yang tidak sanggup menghadapi realiti kehidupan. Mereka
menganggap bahawa orang yang kudus dan diperkenankan oleh Tuhan adalah orang
yang terhindar daripada segala
persoalan dan masalah. Tidak semua masalah datang dari iblis. Kadang-kadang
Tuhan mengizinkan masalah hadir dalam diri kita supaya kita melihat kekuasaan
Tuhan dalam kehidupan kita. Tuhan mahu supaya pengenalan kita kepada Tuhan akan
bertumbuh dan mencapai kedewasaan.
Tidak percaya kepada keseluruhan Firman Tuhan (ayat
22-26)
Apa yang
berlaku pada waktu itu adalah ketidakmampuan murid-murid Yesus memahami dan
melihat kegenapan firman Tuhan yang diajar oleh nabi-nabi dan Tuhan Yesus
sendiri. Mereka hanya mengetahui secara teori dan pengetahuan secara akademik
tetapi tidak mengalami kuasa firman Tuhan itu secara peribadi. Mungkin mereka
mendengar dan melihat apa yang dilakukan oleh Yesus tetapi apabila menghadapi
saat yang genting, mereka lupa segala asas yang diajarkan oleh Yesus.
Mata yang
terhalang akan menghalang kita untuk melihat kekuatan dan potensi dalam diri
kita dan orang-orang yang ada di sekeliling kita. Mata yang terhalang akan
menghalang mata kita untuk melihat kekuatan dan potensi anak-anak muda. Mata
yang terhalang akan menghalang kita untuk melihat kekuatan dan potensi gereja
kita. Mata yang terhalang akan menghalang mata kita untuk melihat kekuatan dan
potensi dalam persekolahan, pekerjaan, perniagaan dan rencana Tuhan dalam
kehidupan kita.
Kesimpulan
Kedua-dua murid
Yesus yang mengambil keputusan untuk meninggalkan Yerusalem adalah contoh orang
yang merasa kecewa, tidak mengalami sendiri kuasa Tuhan, melarikan diri
daripada masalah dan tidak dapat mempraktikkan asas iman yang diajarkan oleh
Yesus. Kadang-kadang kita sebagai umat percaya juga mengalami hal yang sama.
Pengalaman dan keaktifan kita dalam pelayanan tidak menjamin bahawa kita sudah
mengenal Tuhan yang kita sembah. Kita boleh sahaja melakukan segala pelayanan
kita kerana itu adalah kewajipan dan sudah menjadi tugasan secara rutin. Hal
yang sungguh bahaya adalah ketika kita tidak dapat mengenal cara Tuhan bekerja
dalam kehidupan kita, keluarga, gereja dan masyarakat di mana kita hidup. Ada
ramai orang yang merasa letih dalam pelayanan bahkan berpaling tadah kerana
tidak lagi melihat Tuhan Yesus dalam pelayanannya tetapi melihat karya kekuatannya
sendiri. Tuhan mengajar kita supaya melihat dengan mata yang tidak terhalang
mengenai rencana Tuhan dalam kehidupan kita. Terlebih, Tuhan tidak mahu supaya
kita menjadi penghalang atau batu sandungan bagi orang lain. Bukalah penghalang
di mata kita dan kita akan melihat hal-hal yang luar biasa sedang Tuhan
kerjakan. Amin
Murid-murid
Yesus tidak dapat melihat kemenangan disebalik kekalahan. Mereka putus harapan
namun Tuhan Yesus mengetahui kemampuan manusia menggenapi rencana Allah. Yesus
memperlihatkan dirinya dan melakukan semua tindakan yang pernah dilakukan-Nya.
Yesus telah mengadakan perjamuan suci iaitu memecahkan roti dan minum
bersama-sama dengan murid-murid tersebut. Ketika Yesus melakukan hal ini, mereka
teringat perkara yang sama dilakukan oleh Yesus sebelum Dia disalibkan.
Kadang-kadang Yesus membawa kita untuk mengingati apa yang telah Tuhan lakukan
dalam hidup kita. Tuhan membawa kita untuk menilai dan mengira kembali
berkat-berkat Tuhan yang telah kita terima daripada Tuhan.
Ps Bios Solingkin SIB Metro Church Services on 3rd August 2008 biossolingkin@sibmetro.com
|