A Message for the ChurchDownload this Sermon SIB City Mall 27hb Julai 2008
Ramai yang melayani di gereja hari ini
berkata: “Kalau saya ingin lakukan sesuatu, saya tidak peduli apa kata orang
lain.” Percakapan ini tidak
salah, kita sememangnya tidak harus dipengaruhi orang lain. Tetapi kita perlu berfikir, bagaimana
pula dengan kehendak Tuhan?
Walaupun kita tidak terpengaruh dengan kata-kata orang lain, perlukah
kita mengetahui kehendak Tuhan?
Perlukah dan adakah perbuatan kita bersetuju dengan kehendak Tuhan?
Janganlah kamu bodoh, tetapi usahakanlah supaya kamu mengerti kehendak
Tuhan. (Efesus 5:17)
Mengikut Efesus 5:17, mereka yang tidak
berusaha untuk mengetahui kehendak Tuhan adalah ‘bodoh’. Maka kita yang melayani Tuhan dengan
begitu bersungguh-sungguh perlulah mengerti kehendak Tuhan supaya tidak
melakukan sesuatu yang “bodoh”, yang bertentangan dengan
kehendakNya. Beberapa peristiwa
hendaklah menjadi pelajaran penting bagi kita yang melayani Tuhan, di mana
Yesus telah memarahi murid-muridNya yang telah melakukan sesuatu perbuatan
tanpa mengerti apa yang dikehendakiNya, dan perbuatan mereka dianggapkan oleh
Yesus sebagai perbuatan yang “bodoh”.
Perbuatan-perbuatan yang “bodoh”
1.
Petrus cuba menghalang Yesus
daripada melalui penderitaan
... Maka Yesus berpaling dan
berkata kepada Petrus: “Enyahlah Iblis. Engkau suatu batu sandungan bagi-Ku,
sebab engkau bukan memikirkan apa yang dipikirkan Allah, melainkan apa yang
dipikirkan manusia.” (Matius
16:21-23)
Yesus menerangkan
kepada murid-muridNya mengenai sesuatu yang akan menimpa Dia di Yerusalem yang
merupakan sebahagian daripada rancangan Tuhan, di mana Dia akan mengalami
penderitaan, dibunuh, dan akan dibangkitkan semula.
Petrus membantah
tanpa berfikir: “Sudah tentu tidak!” Kita tidak pertikaikan bahawa Petrus
mengasihi Yesus, tetapi percakapannya tetap bodoh, berpunca daripada fikiran
manusia. Yesus telah memanggil
Petrus sebagai iblis, dan menganggapkan perbuatannya bukan sahaja bodoh, malah
telah menghalang jalan Yesus.
Selama 30 tahun
Yesus memikirkan rancangan Tuhan, setiap pagi Dia berbangun awal untuk
berbicara dengan Bapa Tuhan, di manakah Petrus pada waktu itu selain daripada
menangkap ikan di laut? Adakah
Petrus fikir dia lebih mengetahui kehendak Bapa Tuhan daripada Yesus sendiri?
Bagaimana pula dengan
kita yang melayani Tuhan? Tidak
salah kita menyuarakan fikiran kita, tetapi pernahkah kita bercakap terlalu
cepat tanpa berfikir? Cubalah tanya
sendiri, adakah percakapan atau perbuatan kita telah menjadi penghalang
rancangan Tuhan, kerana kita tidak usahakan untuk mengetahui kehendak Tuhan
sebelum bercakap dan melakukan sesuatu?
2.
Murid-murid Yesus cuba
menghalang anak-anak kecil daripada menghampiri Yesus
… Tetapi Yesus berkata:
“Biarkanlah anak-anak itu, janganlah menghalang-halangi mereka datang
kepada-Ku; sebab orang-orang yang seperti itulah yang empunya Kerajaan
Sorga.” … (Matius 19: 13-15)
Apabila anak-anak
kecil dibawa kepada Yesus, mereka hanya ada satu permintaan yang kecil, supaya
Yesus meletakkan tanganNya pada kepala mereka dan mendoakan mereka. Murid-murid Yesus yang mungkin
menganggapkan anak-anak kecil sebagai tidak penting atau tidak ketahui apa-apa
terus memarahi dan mengusir mereka.
Menurut Markus 10:14, Yesus memarahi
murid-muridNya kerana perbuatan tersebut.
Yesus berkata bahawa anak-anak kecillah yang empunya Kerajaan Sorga,
manakala murid-muridNya pula tidak akan dapat memasukinya sekiranya mereka
tidak berubah dan menjadi seperti anak-anak kecil tersebut.
Selepas itu Yesus memeluk anak-anak
kecil itu dan mendoakan serta memberkati mereka, dan terbuktilah sekali lagi
perbuatan bodoh murid-muridNya adalah disebabkan mereka tidak berusaha untuk
mengetahui kehendak Tuhan.
Kita minta belas kasihan daripada Tuhan,
janganlah sampai kita menjadi penghalang kerja-kerja Tuhan kerana perbuatan
“melindungi” Tuhan dan gerejaNya.
3.
Murid-murid Yesus memarahi perempuan
yang mencurahkan minyak wangi pada Yesus
… “Mengapa kamu
menyusahkan perempuan ini? Sebab ia
telah melakukan suatu perbuatan yang baik pada-Ku … ia membuat suatu
persiapan untuk penguburan-Ku …(Matius 26: 6-13)
Sesuatu yang tidak
disangkakan berlaku semasa Yesus berada di rumah Simon di Betania, di mana
seorang perempuan datang membawa buli2 pualam yang mengandungi minyak wangi yang
paling mahal, dan dengan tiba-tiba perempuan itu mencurahkan minyak wangi ke
atas kepala Yesus. Murid-murid
Yesus naik marah kerana melihat perbuatan perempuan itu sebagai membazirkan,
mereka berpendapat bahawa minyak wangi tersebut boleh dijual dengan harga yang
tinggi dan wang tersebut boleh digunakan untuk membantu orang miskin.
Kita boleh faham reaksi murid-murid
Yesus, tetapi nampaknya mereka mengulangi kesalahan yang mana mereka tidak
mengerti kehendak Yesus. Yesus
tidak bersetuju dengan perbuatan murid-muridNya, Dia terima apa yang dilakukan
oleh perempuan itu terhadapNya, mengatakan itu adalah sesuatu persiapan untuk
penguburanNya.
Pernahkah kita berkata di gereja:
“Kenapa hantar penginjil ke luar negeri? Kenapa bina bangunan baru? Kenapa bantu gereja lain? Kenapa bazir?” Apabila kita membantah terhadap sesuatu
perbelanjaan berkaitan kerja Tuhan yang kononnya membazirkan, apakah kita telah
berdoa dan berusaha mengerti kehendak Tuhan? Soalnya bukan berkaitan perbelanjaan,
tetapi usaha kita untuk mengetahui kehendak Tuhan.
Yesus memuji perempuan itu kerana perbuatannya yang
“baik”
… “Mengapa kamu
menyusahkan perempuan ini? Sebab ia
telah melakukan suatu perbuatan yang
baik pada-Ku … Sesungguhnya di mana saja Injil ini diberitakan di
seluruh dunia, apa yang dilakukannya ini akan disebut juga untuk mengingat dia.” (Matius 26: 6-13)
Akhirnya kita dengar
pujian daripada Yesus untuk seseorang, orang ini bukan dari kalangan
murid-murid Yesus yang sepatutnya lebih memahamiNya, tetapi seorang
perempuan. Perempuan ini mungkin tidak berapa
berpengetahuan, tetapi perbuatannya dipuji sebagai perbuatan yang
“baik”, sehinggakan peristiwa ini disebut di seluruh dunia di mana
injil diberitakan untuk mengingatnya.
Apakah kita pun boleh menerima pujian
yang sama daripada Yesus? Tentu
sekali, bukan sekadar kerana kita telah berbuat sesuatu di gereja, tetapi
sesuatu yang “baik” untuk Yesus. Sudah tiba masanya untuk kita mengurangkan
percakapan dan perbuatan yang tidak membawa faedah tetapi pertelingkahan di
gereja dan kemarahan Yesus.
Sebaliknya marilah kita usahakan supaya mengerti kehendak Yesus, dan dari
itu lakukan perbuatan yang baik untuk Dia.
Apakah perbuatan-perbuatan
yang baik?
Kalau anda datang ke
gereja dengan hati yang ikhlas untuk menyembah, memuji dan bersyukur kepada Tuhan, anda telah
melakukan perbuatan yang baik untuk Yesus.
Kalau anda
berkumpul dengan saudara-saudari di Rumah Tuhan kerana ingin menguatkan iman
saudara-saudari anda, ini adalah juga suatu perbuatan yang baik untuk Yesus.
Kalau anda nyanyi
dengan bersungguh-sungguh kepada Tuhan, kalau nyanyian anda berpunca dari hati
yang penuh kesyukuran, anda telah melakukan perbuatan yang baik untuk Yesus.
Kalau anda berikan
persembahan persepuluhan, walau pun jumlahnya kecil namun dengan jujur, anda
telah melakukan suatu perbuatan yang baik untuk Yesus.
Tahukah anda sekadar
bersalaman atau bersenyum dengan orang tua yang duduk berseorangan di gereja,
menunjukkan kemurahan hati anda, anda telah melakukan suatu perbuatan yang baik
untuk Yesus?
Senarai ini boleh
diteruskan, peluang untuk melakukan perbuatan yang baik untuk Yesus terdapat di
mana-mana, pada bila-bila masa, malah untuk sesiapa sahaja.
Sebab ketika aku lapar, kamu
memberi aku makan ...(Matius 25: 35-36)
Berpuluh-puluh
tahun hidup di dunia ini, berapa kali kita menemui atau terdengar mereka yang
lapar, haus, telanjang, sakit ... ?
Apakah tidak benar bahawa kita telah mensia-siakan terlalu banyak
peluang untuk berbuat baik terhadap mereka? Apakah kita terlalu sibuk dengan kerja
kita, anak isteri kita dan keperluan diri kita sendiri? Apakah kita terlalu sibuk dengan
pelayanan dan aktiviti gereja sehingga kita terlupa sesuatu yang penting, yang
dekat di hati Tuhan Yesus?
Lakukanlah perbuatan yang baik
semasa peluang masih ada
Apabila sampainya
masa untuk penghakiman terakhir, Raja Yesus akan memutuskan samada kita akan
berada di sebelah kanannya, ataupun di sebelah kiri. Adakah kita akan bergembira kerana telah
melakukan perbuatan-perbuatan yang baik untuk saudara-saudari kita dan
orang-orang asing, ataupun kita akan menyesal kerana peluang untuk berbuat baik
sudah tiada lagi.
Sedangkan peluang
masih ada pada kita hari ini, buatlah apa yang baik untuk saudara-saudari di
antara kita di gereja, ataupun orang-orang asing di tempat kerja, perjiranan
dsb. Kalau ada yang lapar, berilah
dia makan; ada yang kesunyian, jadilah kawan dia; ada yang menangis, menangislah
dengan dia; ada yang sakit, melawatlah dia; ada yang gagal, bantulah dia; ada
yang bergaduh, bawalah damai antara mereka. Berkatilah mereka, lakukanlah perbuatan
yang baik untuk mereka, dan Tuhan Yesus akan berkata kepada anda: “…
segala sesuatu yang kamu lakukan untuk salah seorang dari saudara-Ku yang
paling hina ini, kamu telah melakukannya untuk Aku.” Percayalah, Tuhan melihat segala-galanya
ini sebagai perbuatan yang baik untuk Dia.
Ps Tan Heng Sie SIB Metro Church BM Service on 27.07.2008 alpha60@tm.net.my
|