MENERIMA JANJI ALLAHDownload this Sermon Menerima Janji Allah
Teks Kej 12:1-9
Teks ini
dimulai dengan seruan Tuhan untuk mengarahkan Abram untuk pergi ke suatu tempat yang tidak biasa
bagi dirinya. Pemergian ini adalah suatu yang sukar kerana Abram terpaksa
meninggalkan negerinya, sanak saudaranya dan rumah bapanya. Dalam kehidupan
ini, Tuhan mahu supaya kita dapat bertumbuh dalam iman percaya agar dapat menerima segala janji Allah dalam
kehidupan kita. Bukan mudah untuk berpindah dari satu kebiasaan kepada suatu tempat atau cara yang baru.
Ada pentafsir mengatakan bahawa seruan Tuhan untuk pergi bukan sahaja
meninggalkan keselesaan Abram tetapi juga meninggalkan segala bentuk
penyembahannya yang dilatari dengan penyembahan keluarga Terah iaitu
penyembahan barhala. Seringkali tanpa sadar, kadang-kadang kita terbiasa dengan
kebiasaan yang salah dan menjerus kepada penyembahan berhala. Tuhan mahu supaya
penyembahan kita hidup dan berjalan bersama dengan rencana Tuhan serta menikmati janji Tuhan dalam kehidupan
kita.
Menjadi bangsa yang besar
Inilah janji
Tuhan kepada Abram iaitu menjadi bangsa yang besar (ay 2). Bangsa yang besar (goy) adalah merujuk kepada daerah dan
kota yang diduduki oleh rakyat. Walaupun Abram menafsirkan bahawa janji ini
adalah wilayah dan penduduk Kanaan dan bangsa-bangsa lain di sekitarnya,
namun bangsa besar ini juga merujuk kepada segala bangsa sorgawi. Hal ini
terjadi bila kedatangan Mesias yang menyelamatkan seluruh bangsa. Mesej ini
sungguh releven dengan generasi kita sekarang ini iaitu membawa suku kaum dan
bahasa untuk percaya kepada Kristus supaya diselamatkan.
Membuat nama masyhur
Nama Abram yang
akhirnya digantikan dengan Abraham, yang bererti “bapa sejumlah besar
bangsa” adalah nama yang sungguh masyhur. Siapapun nama kita, yang
sungguh penting adalah nama kita tercatat di Syurga. Tuhan menjanjikan bahawa
nama Abram akan terkenal dan menjadi masyhur. Apakah janji Tuhan kepada nama
kita?. Setiap anak-anak yang diahirkan berusaha untuk memperbaiki taraf kehidupan
dan nama keluarganya. Keluarga yang normal adalah keluarga yang cuba memperbaiki pencapaian dalam
keluarganya dalam berbagai segi. Apakah
sejarah yang kita harus ukir melalui nama kita? Tuhan menjanjikan bahawa
nama kita akan dikenali dan masyhur kerana Tuhan yang kita sembah adalah Tuhan
yang termasyhur.
Menjadi berkat
Kata berkat
disebut “berakha” dalam
bahasa Ibrani yang dihubungkaitkan dengan kebendaan, material atau kemewahan.
Manakala kata “eulogia”
dalam bahasa Yunani selain daripada merujuk kepada kemewahan, ia juga merujuk
kepada kurnia-kurnia dalam Injil
yang seringkali disebut dalam Kitab Perjanjian Baru. Dalam ayat 2, Abram
dikatakan bukan hanya diberkati oleh Tuhan tetapi melalui diri Abram, orang
lain akan diberkati. Dalam ayat ini, Abram dikatakan menjadi saluran berkat kepada orang lain. Janji Tuhan
kepada kita adalah, kita akan diberkati oleh Tuhan dan melalui diri kita, orang
lain akan diberkati. Oleh yang demikian prinsip menerima dan memberi adalah
berjalan bersama- sama.
Jaminan timbal-balik.
Dalam ayat yang
ketiga menyatakan mengenai jaminan perlindungan Tuhan mengenai janji-Nya dalam
ayat yang kedua. Hal yang pertama kita pelajari dalam ayat ini adalah, Tuhan
menggunakan orang lain untuk memberkati kita. Hal yang kedua adalah, kalau kita
memberkati orang lain, maka kita pun diberkati oleh Tuhan. Perkara sebaliknya
adalah, sesiapa sahaja yang akan mengutuk kita, maka Tuhan akan mengutuk orang
tersebut. Kata Kutuk dalam bahasa Yuani adalah “anathema” yang bererti, sesuatu yang ditempatkan, dinazarkan,
dikhususkan untuk barang persembahan. Dalam erti kata yang lain, orang yang
dikutuk adalah orang yang ditentukan untuk dikorbankan atau ditentukan untuk
menerima hukuman mati yang mengerikan. Ayat ketiga diakhiri dengan pernyataan
keistimewaan Abram sebagai kunci keberhasilan semua kaum di muka bumi yang akan
mendapat berkat. Kata “akan”
menunjukkan fungsian Abram belum berlaku atau belum terjadi. Segala janji ini
hanya berlaku bila Abram mengambil keputusan untuk taat kepada perintah Tuhan
untuk pergi.
Ketaatan Allah.
Dalam ayat
empat melaporkan mengenai ketaatan Abram kepada perintah Allah untuk pergi.
Walaupun Abram belum mengerti sepenuhnya arahan ini tetapi Abram percaya dan
taat kepada Tuhan yang memberikan arahan kepadanya. Kata taat dalam bahasa
Ibrani adalah “syama” yang
bererti, mendengarkan. Dalam Yunani – “akouo”, yang bererti “mendengar”. Taat juga diertikan sebagai menyerah kepada
bujukan atau rayuan, tunduk kepada kekuasaan dan patuh atau memenuhi permintaan
dan arahan. Abram mampu mendengar dengan baik dan melakukan seperti yang ditunjukkan
oleh Tuhan kepadanya. Alkitab sering mengulangkan kata-kata “siapa yang
bertelinga, hendaklah mendengar”. Mempunyai sepasang telinga yang baik
tidak menjamin seorang itu dapat
mendengar dengan baik. Mendengar dengan pengertian sendiri tidak cukup
membuat suatu keputusan dan tindakan yang sempurna.
Ada ramai
anak-anak muda yang sengaja menutupkan telinga mereka bila orang tua, pemimpin
gereja atau pastor sedang memberikan kata-kata petunjuk atau ajaran-ajaran yang
membolehkan mereka menerima janji-janji pemberkatan Tuhan. Tidak kurang yang
terpaksa mengalami pengalaman-pengalaman pahit dan masa depan yang semakin
suram kerana tidak mendengarkan apa dikatakan, apa lagi mentaatinya. Erti lain
daripada kata “taat” adalah percaya. Percaya dalam bahasa Yunani
adalah “pisteuo” atau
“batakh” dalam bahasa
Ibrani yang bererti, hidup dalam ketulusan, percaya dan tidak ragu, sikap yang
benar terhadap Allah atau berusaha untuk hidup benar. Kalau kita ingin supaya
janji Tuhan digenapi dalam kehidupan kita, marilah kita belajar untuk taat
kepada firman Tuhan. Ketaatan ini diawali dengan sikap yang baik dan ketelitian
kita untuk mendengarkan setiap kata-kata yang disampaikan melalui firman Tuhan.
Pendengaran yang baik diproses oleh pengertian dan pertolongan Roh Kudus untuk
membuat keputusan dan tindakan yang sempurna. Tuhan tidak hanya menyatakan
janji ini kepada Abram seorang tetapi kepada kita semua juga.
Marilah kita
menerima janji Tuhan untuk menjadi bangsa yang besar, membuatkan nama kita
masyhur (menjadi kesaksian), menerima berkat dan menjadi berkat kepada
bangsa-bangsa. Namun syarat untuk menerima janji ini adalah kita harus
mendengarkan setiap firman Tuhan yang disampaikan dan mentaati dan melakukannya
dalam kehidupan kita. Saya percaya, gereja di mana kita berbakti sekarang ini
adalah tempat di mana kita akan menantikan dan menerima janji-janji Tuhan dalam
kehidupan kita. Sekian, Tuhan memberkati.
Pastor Bios
Solingkin
Preached at SIB
Metro Church – 1st Sunday Bahasa Malaysia Service on 06.04.2008
Pastor Bios Solingkin SIB Metro Church pastorbios@sibmetro.com
|